TURKIYE, 27 JULAI 2022 – Universiti Teknologi MARA menerusi cawangannya di Pulau Pinang telah melebarkan jaringan kolaboratif dengan tiga (3) buah universiti tempatan di negara Turkiye baru-baru ini.
Universiti yang dimaksudkan ialah Istanbul Sabahattin Zaim University (IZU), Canakkale Onsekiz Mart University (COMU) dan Eskisehir Osmangazi University (ESOGU). UiTM diwakili oleh Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) Menjalankan Tugas-Tugas Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang yang juga mewakili Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM. Turut serta 6 orang delegasi UiTM dari pelbagai bidang pengajian antaranya Pengurusan dan Perniagaan, Hotel dan Pelancongan serta Pengajian Islam Kontemporari.
Dalam siri kunjungan ini, turut diadakan majlis menandatangani pemeteraian MoU antara UiTM dengan Istanbul Sabahattin Zaim University (IZU) yang diwakili Timbalan Rektornya, Profesor Dr. Ismail Kucuk, dan disaksikan oleh Penolong Profesor Dr. Merve Busra Altundere Dogan, Timbalan Dekan, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan. Manakala bagi pihak UiTM oleh Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy dan disaksikan oleh Dr. Nor Khadijah Mohd Azhari dari Jabatan Pengurusan dan Perniagaan.
Berucap pada majlis menandatangani pemeteraian MoU ini, Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali yang membawa amanat Naib Canselor UiTM, “Peluang kolaboratif bersama Istanbul Sabahattin Zaim University dapat membuka jalan dalam melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan mobiliti pelajar serta staf di antara kedua-dua buah universiti. Kerjasama ini antara lainnya akan meningkatkan kompetensi global universiti ini dalam merealisasikan agenda dalam pelan strategik UiTM 2025 (GRU2025)”.
Timbalan Rektor, Profesor Dr Ismail Kucuk dalam ucapannya berharap peluang kerjasama ini dapat meningkatkan prestasi universiti melalui penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, penganjuran persidangan dan seminar antarabangsa. Tambahan beliau lagi “Kerjasama ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kedua-dua universiti tetapi juga dapat merapatkan hubungan di antara dua buah negara”.
Memorandum Persefahaman ini diterajui oleh barisan Pengajar dari Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang diketuai oleh Dr. Nor Khadijah Mohd Azhari, Dr. Noor Ashikin Basarudin dan Puan Melinda @ Siti Asmah Yunos dari Jabatan Pengurusan dan Perniagaan.
Selain itu, pertemuan dengan wakil pengurusan tertinggi Canakkale Onsekiz Mart University (COMU) dan Eskisehir Osmangazi University (ESOGU) turut diadakan di universiti masing-masing. Pertemuan ilmiah secara bersemuka, setelah pemeteraian MoU UiTM dengan COMU yang telah dilakukan secara virtual tahun lepas ketika dunia dalam situasi pandemik COVID-19, diterajui oleh Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Manakala, di ESOGU perbincangan dan perancangan yang lebih komprehensif telah dicapai untuk beberapa projek akademik bersakala besar yang akan datang. Hasilan kunjungan ke negara yang dijenamakan Turki kepada Turkiye ini, dilihat mampu menarik lebih banyak peluang besar ke tanah air dalam pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan pendidikan negara.