Jengka Wonderland merupakan Taman Tema Air yang pertama di Jengka dan diuruskan sepenuhnya oleh Sharali Group Sdn. Bhd. Ianya terletak di pusat Bandar Jengka di antara daerah Maran, Temerloh dan Jerantut.
Kedudukannya yang dianggarkan sejauh 170KM dari pusat bandaran Kuala Lumpur dan 145KM dari bandar Kuantan dengan lebih kurang 2 jam perjalanan menjadikan Jengka Wonderland sebagai tempat riadah tumpuan keluarga. Pelbagai jenis permainan dan perkhidmatan disediakan di Jengka Wonderland yang menjadikannya unik dan berdaya saing berbanding taman tema air yang lain.
Sebagai salah sebuah produk taman tema air, Jengka Wonderland menyediakan permainan dan fasiliti utama kepada para pengunjung seperti kolam renang yang besar, ruang gelongsor air dewasa dan kanak-kanak, sungai buatan, kolam renang kanak-kanak, paddle-boat, meja dan kerusi, ruang solat, tempat mandi dan bersalin pakaian. Terdapat juga beberapa fasiliti berbayar dan sewaan seperti Gazebo, Hobbit House, pelampung dan loker simpanan barang. Dengan penyediaan dan pembangunan Jengka Wonderland yang menelan belanja yang tinggi, sudah tentu pihak Jengka Wonderland mengharapkan pulangan modal dan keuntungan yang setara. Oleh itu, pihak Jengka Wonderland perlu merancang dan memikirkan kaedah pemasaran dan pengenalan jenama Jengka Wonderland bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Jengka Wonderland.
Pemasaran, pengiklanan dan pengenalan jenama adalah sangat penting dalam sesebuah perniagaan. Pemilik perniagaan tidak seharusnya merancang dalam penyediaan modal bagi menyediakan produk dan fasiliti semata-mata, ianya seharusnya seiring dengan perancangan strategi pemasaran dan pengiklanan bagi menarik pembeli dan pengunjung. Bagi Perniagaan Jengka Wonderland, pembangunan taman tema dan fasiliti sudah tersedia, namun demikian, pihak penyelidik mendapati tiada ‘presence’ atau kewujudan jenama Jengka Wonderland di dunia maya atau digital atau Internet yang menjadi tempat carian para pengunjung. Oleh yang demikian, para penyelidik yang kebanyakan daripada Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Pahang mencadangkan untuk diwujudkan ‘presence’ Jengka Wonderland dengan pembangunan kit utama Pemasaran Digital atau Digital Marketing seperti Laman Web Rasmi, Google Business Profile, Search Engine Optimization (SEO) dan Google Ads.
Kerjasama yang dilakukan antara pihak UiTM Cawangan Pahang dan Sharali Holdings Sdn Bhd membolehkan pihak penyelidik membantu dalam membangunkan laman web rasmi, mengkaji kata kunci carian pengunjung bagi proses pengiklanan, pengoptimuman Google Business Profile bagi meningkatkan jumlah pengunjung ke laman web seterusnya meningkatkan jualan tiket dan kehadiran para pengunjung ke Jengka Wonderland. Selain itu, penyediaan fasiliti digital di atas membantu para pengunjung mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Jengka Wonderland seperti harga tiket semasa, fasiliti yang disediakan, gambar-gambar taman tema serta pengunjung dapat berhubung terus dengan staf Jengka Wonderland dengan adanya ruangan Chat yang disediakan di laman web tersebut. Fasiliti digital ini secara tidak langsung memudahkan para pengunjung membuat perancangan seterusnya memilih Jengka Wonderland sebagai tempat riadah seisi keluarga. Antara lain objektif pembangunan kit pemasaran digital ini kepada syarikat dalam sektor pelancongan tempatan adalah seperti berikut:
- Memastikan kewujudan jenama Jengka Wonderland dalam talian dan rangkaian internet (online presence).
- Meningkatkan jumlah pengunjung ke laman web seterusnya meningkatkan jualan tiket dan kehadiran para pengunjung ke Jengka Wonderland.
- Memberikan maklumat terkini kepada pentadbir dan staf pemasaran kaedah terkini pemasaran digital
Kesemua objektif di atas diharap dapat memberikan impak akses kepada pelanggan terhadap maklumat perniagaan dan produk dapat disampaikan kepada pelanggan dengan meluas. Laman web syarikat juga akan mudah dilihat dalam pencarian pengguna terhadap sektor pelancongan tempatan (Google Search) serta mampu meningkatkan kredibiliti perniagaan dan menjadikan jenama produk lebih profesional.
Projek ini turut bertujuan untuk menyediakan perkongsian maklumat antara penyelidik dengan staf pengurusan sosial media Jengka Wonderland berkaitan teknik pengurusan laman web dan cara membuat posting dan copywriting di media sosial. Pengetahuan tentang digital marketing juga turut diberikan kepada staf Sharali Holdings setelah semua laman web dan kit pemasaran digital siap dibangunkan. Ini adalah penting bagi memastikan pihak pengurusan dan pemasaran Jengka Wonderland dapat mengurus dan berdiri dengan sendiri dalam proses pemasaran Jengka Wonderland walaupun selepas tamatnya kerjasama projek anatara UiTM dan Sharali Holdings Sdn Bhd. Oleh itu, objektif kerjasama antara UiTM dan Sharali Holdings Sdn Bhd melalui projek ini adalah seperti berikut :
- Menghasilkan satu impak yang dapat menyumbang kepada pencapaian positif terhadap dasar-dasar semasa negara seperti Dasar Keusahawanan Negara (2019). Dasar Komuniti Negara, Dasar Sosial Negara dan Dasar Satu Daerah Satu Industri.
- Menjadikan UiTM hub atau pusat rujukan komuniti yang unggul dalam bidang keusahawanan dan teknologi.
- Meningkatkan kewujudan syarikat dalam talian dan rangkaian internet melalui pembangunan laman web.
- Menjadikan UiTM Cawangan Pahang pengerak kepada pembangunan dan pemerkasaan komuniti peniaga di Negeri Pahang.
- Memberi pendedahan ilmu keusahawanan khususnya dalam aspek pemasaran digital melalui penggunaan website rasmi perniagaan.
- Menyediakan platform laman web yang dapat memberikan maklumat perniagaan kepada pelanggan dengan meluas kepada pengguna dalam dan luar negara.
Selain itu, antara inisiatif yang membawa kepada impak positif berterusan di samping menyokong usaha SDG di Malaysia dan peringkat global dalam menggalakkan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa. Kesimpulannya, dengan khidmat penyelidikan dan pembangunan kit pemasaran digital yang terdiri daripada laman web rasmi, Google Business Profile, Google Ads dan Search Engine Optimization (SEO) ini diharapkan dapat membantu pihak Sharali Holdings Sdn Bhd dalam mempromosi dan memasarkan produk pelancongan tempatan iaitu Taman Tema Air di bandar Jengka seterusnya dikenali di seluruh Malaysia.