SHAH ALAM, 14 NOVEMBER 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan pengiktirafan Anugerah Berlian kepada
Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana berjaya membuat kutipan Zakat melebihi RM1 juta. Anugerah diberikan sebagai perngiktirafan terhadap sumbangan besar yang diberikan oleh kakitangan dan warga UiTM dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan di Selangor.
Anugerah disampaikan oleh En. Muhd Fikri Naim Harun, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, diiringi oleh En. Mohd Hairulazlan Ramlan, Ketua Jabatan Pengurusan Ejensi LZS dan Encik Mohd Zaki Abd Rahim, Eksekutif Penyelaras Amil Institusi. Turut hadir bersama mewakili UiTM ialah Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob, Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM.
Secara umumnya, pada tahun 2021 jumlah kutipan Zakat di UiTM mencecah lebih daripada RM11 juta dan dijangka akan terus meningkat pada tahun 2022, hasil daripada keprihatinan dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan kakitangan dan warga UiTM tentang kepentingan dan kewajipan berzakat.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1998, pengurusan zakat di UiTM telah berjaya membantu seluruh pelajar dan warga UiTM yang memerlukan. Sehingga tahun 2021, kutipan keseluruhan zakat di UiTM telah mencecah jumlah sebanyak RM120,095,206.94. Sumbangan zakat ini diperoleh daripada seluruh kakitangan dan warga UiTM yang sangat prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan di UiTM.
Manakala dari aspek agihan pula, jumlah keseluruhan bantuan zakat yang telah diagihkan kepada para pelajar dan warga UiTM sehingga tahun 2021 telah mencecah jumlah sebanyak RM50,288,497.40 dengan jumlah penerima keseluruhan seramai 112,933 penerima.
Zakat UiTM memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga kebajikan para pelajar dan warga di universiti. Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk menggalakkan seluruh warga universiti untuk terus menyumbang melalui zakat, sedekah dan juga wakaf agar golongan yang memerlukan sentiasa terbela. Pada masa yang sama, ia juga akan memenuhi sasaran pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) bagi UiTM serta membantu ke arah memangkin kemampanan kewangan sosial Islam di Malaysia.