Latest News

1000 pelajar terima Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Kampus Pasir Gudang

Pada 9 November 2022, Rabu, bertempat di UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, satu sesi penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia telah diadakan.

Kira-kira 1000 penerima peranti yang terlibat untuk sesi ini adalah dari kalangan pelajar institusi pendidikan seperti UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Asia Metropolitan University, University of Reading Malaysia, SMK Dato’ Penggawa Timur dan SMK Pasir Gudang 2. Inisiatif ini yang bertujuan membantu pelajar dalam kelompok keluarga B40 dan menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan telah menyediakan set peranti tablet berjenama Samsung Tab A8 LTE, beserta aksesori yang berkaitan seperti papan kekunci mudah alih dan stylus.

Kampus Pasir Gudang telah menerima kehadiran penerima peranti dari institusi-institusi pendidikan berdekatan seawal 8:00 pagi sehingga 4:30 petang. Pergerakan lalu lintas juga dipastikan dalam keadaan lancar oleh anggota Polis Bantuan yang bertugas. Sesi penyerahan di bawah kelolaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Pasir Gudang ini telah diketuai oleh Penolong Pendaftar, Ahmad Saufi bin Ahmad Jawahir, bersama warga staf Bahagian Hal Ehwal Akademik, Perpustakaan Tun Dr Ismail, Unit Ko-Kurikulum, Unit Hal Ehwal Islam, Unit Kesihatan, Majlis Perwakilan Pelajar, dan Majlis Perwakilan Komander Kesatria antara lainnya.

Di samping penyerahan peranti yang diadakan di Ruang Legar Perpustakaan Tun Dr Ismail, turut diadakan adalah sesi pengisian oleh Pegawai Psikologi dari Unit Kerjaya & Kaunseling di ruang menunggu bertempat di Dewan Kuliah 200, sementara para pelajar menanti giliran. Antara pengisian kepada hadirin adalah pengenalan kepada UiTM, program akademik yang ditawarkan dan peluang melanjutkan pelajaran, serta pendedahan dan penerangan mengenai Ujian Psikometrik.

Program ini juga dihadiri oleh Yang Berusaha Dr Haryana binti Mohd Hairi, Penolong Rektor, yang telah menyempurnakan gimik penyerahan peranti kepada pelajar. Rata-rata penerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang ditemui menzahirkan kegembiraan mereka. Antara lainnya, mereka menyatakan bahawa peranti yang diterima akan membantu mereka dari aspek pengambilan nota yang lebih efisien, di samping lebih mudah dan ringan untuk dibawa ke kelas berbanding komputer riba.

Pelajar-pelajar yang telah terpilih sebagai penerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia ini diharapkan agar dapat memanfaatkan peranti yang diterima untuk keperluan pembelajaran mereka, dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik sepanjang pengajian mereka.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000