Majlis pelancaran Projek Perundingan Pembangunan Dan Pemantapan Sukan Ping Pong Pelajar-Pelajar Sekolah dan Komuniti Daerah Maran telah berlangsung pada 31 Januari 2023 (Selasa), pada jam 5.30 petang
bertempat di Kolej Tun Teja, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang. Projek perundingan ini bertujuan untuk menyalurkan khidmat kepakaran kejurulatihan dan penguasaan sukan ping pong di kalangan pelajar-pelajar sekolah dan komuniti setempat yang mempunyai bakat dan potensi, dalam usaha untuk melahirkan atlet sukan ping pong yang berprestasi tinggi. Projek perundingan tersebut akan mengambil masa selama setahun bermula dari 1 Februari 2023 sehingga 31 Januari 2024 untuk fasa yang pertama ini.
Majlis pelancaran tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, diikuti dengan ucapan daripada Encik Mahathir bin Mahali, selaku ketua projek dan seterusnya ucapan daripada Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang. Antara intipati ucapan rektor adalah berkenaan peranan UiTM Cawangan Pahang sebagai institusi penyumbang dalam masyarakat. Beliau turut berharap agar projek tersebut menjadi titik permulaan untuk menjadikan UiTM Cawangan Pahang sebagai hub kecemerlangan sukan ping pong pada masa akan datang. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh (Timbalan Rektor HEP), Puan Hamidah binti Abd Rahman (Ketua Unit Sukan), wakil Ketua-ketua Pusat Pengajian, ahli-ahli projek perundingan, guru-guru, pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat luar.
Pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dalam projek perundingan fasa yang pertama ini adalah seramai 5 orang, iaitu 3 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya dan masing-masing seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Desa Jaya dan Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat. Projek ini juga turut disertai oleh 9 orang atlet dari Jengka Makmur Enterprise. Ahli-ahli projek perundingan pula terdiri daripada Encik Mahathir bin Mahali, Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Encik Muhamad Naim bin Haji Jamaludin, Encik Abd Khairudin bin Abdul Karim, Tuan Haji Azizi @ Hamizi bin Hashim, Puan Junaidah binti Jamaluddin, Dr. Norlaila Azura binti Kosni dan Encik Mohd Zulkhairi bin Mohd Azam.
Diharapkan projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran para peserta dalam sukan ping pong, malahan dapat menerapkan gaya hidup yang sihat dari segi pemakanan, daya tahan, kecergasan fizikal dan mental, selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3): Good Health and Well-being.