Latest News

Perkampungan Ilmu Bersama SMK Puncak Alam, Merapatkan Hubungan UiTM Bersama Komuniti Setempat

Pada 9 - 10 Januari 2023 yang lalu, seramai 47 orang pelajar SMK Puncak Alam telah menghadiri program “Perkampungan Ilmu Bersama

SMK Puncak Alam, Murid Sukses ke UiTM” di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Program dua hari satu malam ini merupakan program komuniti berintipati ilmiah dan motivasi yang dilaksanakan oleh pihak ICAN, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM. Program ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar semester 2, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Pengangkutan. Penglibatan pelajar dalam program ini adalah untuk memenuhi salah satu tugasan bagi kursus Pembangunan Diri dan Etika (MGT538) yang juga merupakan kursus SULAM di fakulti. Program Perkampungan ini telah dibimbing oleh dua orang pensyarah iaitu Dr Murni Zarina Mohamed Razali dan Dr Nor Farehan Omar. Selain daripada itu, Dr Noor Azzah Said dan Puan Nor Akila Mohd Kassim turut membantu dalam menjayakan program ini selaku pasukan bersama daripada pihak ICAN Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar membina hubungan baik serta berinteraksi dan bekerjasama secara efektif dengan wakil dari komuniti berhampiran. Keterlibatan pelajar di dalam program sebegini akan memantapkan teknik berkomunikasi dengan pihak komuniti serta mengasah kemahiran bekerja dalam pasukan di kalangan pelajar. Selain daripada itu, program ini diharapkan dapat meningkatkan prestasi pelajar dari segi fizikal dan mental disamping memberi peluang kepada komuniti untuk merasai pengalaman berada di dalam suasana kampus yang mengujakan.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan didalam program ini bertumpu kepada pemantapan motivasi diri dan menambah keyakinan diri pelajar SMK Puncak Alam bagi menduduki peperiksaan SPM yang bakal tiba. Antara aktiviti yang diadakan adalah ceramah pemantapan diri serta perkongsian ilmu daripada pihak Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, aktiviti “Scavenger Hunt” yang merupakan sebuah aktiviti yang berkonsepkan permainan yang menguji minda serta “PALAM the Explorer”, yang mana para pelajar melakukan aktiviti pendakian di Hutan Kadamba, UiTM, Puncak Alam. Gabungan aktiviti-aktiviti yang menarik ini telah memberi impak yang sangat positif di kalangan pelajar SMK Puncak Alam daripada segi fizikal dan mental. Program ini tambah berseri dengan tajaan yang telah berjaya diperolehi daripada pihak Nestle Bhd, dimana seribu cawan minuman MILO telah diedarkan kepada peserta serta para pelajar UiTM Puncak Alam di hari terakhir program ini berlangsung.

Kejayaan Perkampungan Ilmu diharapkan dapat mencetuskan lebih banyak idea bagi penganjuran program-program seperti ini untuk dilaksanakan oleh para pelajar. Program komuniti seperti ini juga merupakan platform terbaik dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar terutama sekali dalam kemahiran berkomunikasi dan pengurusan program. Selain itu, para pelajar juga dapat memberikan impak yang positif secara berterusan kepada komuniti sekeliling khususnya di kawasan berhampiran Kampus UiTM Puncak Alam.

Penulis: Nor Akila Mohd Kassim, Dr Murni Zarina Mohamed Razali, Dr Nor Farehan Omar

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000