SHAH ALAM, 18 JULAI 2023 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin
pada 18 Julai 2023 bertempat di Dewan Sri Meranti, Kolej Kediaman Meranti, UiTM Shah Alam. inisiatif Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan di UiTM bagi meringankan beban kewangan pelajar.
PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM 145,500.00 kepada 291 pelajar UiTM yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan miskin dan miskin tegar. Setiap pelajar yang layak telah menerima bantuan sebanyak RM500.00 secara one-off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar. Pelaksanaan program ini juga adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan UiTM bagi memastikan penerima adalah dari kumpulan sasaran yang layak.
Majlis penyampaian sumbangan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. YBhg. Datuk Norliza melalui ucapannya berkata, “ternyata sumbangan PTPTN cukup besar kepada masyarakat. Sehingga 30 Jun 2023, PTPTN telah membantu seramai 3.83 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM69.73 bilion”. Turut hadir ke majlis penyampaian sumbangan ini ialah YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi (Timbalan Naib Canselor HEP), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid (Ketua Eksekutif PTPTN), Pemimpin Masyarakat Shah Alam, pegawai-pegawai PTPTN dan mahasiswa UiTM yang menerima sumbangan.
Kesimpulannya, PTPTN dan UiTM sentiasa bekerjasama secara erat demi menjaga keperluan pelajar UiTM. Walaupun kos pengajian di menara gading kini semakin meningkat setiap tahun, KPT serta pihak universiti sentiasa berusaha untuk membantu para pelajar yang mempunyai masalah kewangan. Oleh itu, penabungan adalah langkah terbaik untuk membantu menampung kos pengajian sekali gus memastikan mahasiswa dapat mencapai cita-cita dan impian. Amalan penabungan bagi tujuan pendidikan merupakan aspek penting bagi memastikan setiap pelajar berjaya ke menara gading.