Latest News

Penyemaian Penjajaran Aktiviti Pembangunan Komuniti Melalui Program Semarak Siswa Madani (SSM) 2023

SHAH ALAM, 15 JULAI 2023 – Program Semarak Siswa Madani (SSM) Peringkat UiTM bagi fasa pertama telah dianjurkan pada 15 Julai 2023 bertempat di SMK Seksyen 19, Shah Alam.

SSM 2023 ini merupakan program anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM Shah Alam. Objektif program SSM yang dirangka oleh KPT bertujuan untuk menggerakkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) membawa inovasi dan idea-idea baru yang tercetus kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab mahasiswa dan komuniti. Program SSM menfokuskan kepada empat (4) fokus utama aktiviti khidmat masyarakat serta perkongsian ilmu, inovasi dan teknologi iaitu KPT Prihatin Madani, Student For Society (S4S), Knowledge Transfer@Komuniti dan TVET@Komuniti Madani.

Pengisian utama program SSM ini adalah untuk memperkasakan kemahiran dan bakat pelajar supaya perkongsian ilmu pengetahuan antara warga UiTM dan komuniti setempat dapat diwujudkan. Antara sub-aktiviti yang telah dijalankan dalam program SSM ini ialah program UiTM@Komuniti: Canting Batik, Ikat Samping, Bantuan Awal Kecemasan dan Parenting & Winning Children Heart. Selain itu, Program Jom Masuk UiTM juga dianjurkan oleh Bahagian Pengambilan Pelajar bagi memberikan pendedahan dan menjawab persoalan komuniti setempat berkaitan pengambilan pelajar ke universiti. Dalam pada itu, terdapat beberapa program berkaitan kemahiran insaniah iaitu Bengkel Seni@Komuniti, Klinik Bola Speak UiTM United, Program Kelas Memasak, Bengkel Usahawan Digital dan banyak lagi. Semua program ini telah digerakkan sendiri oleh kumpulan mahasiswa UiTM yang dibantu oleh staf yang berpengalaman.

Program yang berlangsung selama sehari ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Azli Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam. ”Saya secara peribadi memberi sokongan penuh kepada pihak UiTM dan KPT jika usaha seperti ini diteruskan pada masa akan datang. Pelbagaikan lagi aktiviti yang lebih menarik bagi memperkasa masyarakat. Saya yakin golongan muda kini lebih gemarkan aktiviti lasak dan mencabar”, ujar beliau. Turut hadir ke program ini ialah YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman (Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT), YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor (Naib Canselor), YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi (Timbalan Naib Canselor HEP), pihak pengurusan SMK Seksyen 19, warga UiTM dan komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, program sebegini dapat menyediakan platform kepada pelajar untuk mempromosikan inovasi dan idea-idea baharu dalam pelbagai bidang di samping membuka peluang kepada mereka bagi mengembangkan kemahirann, bakat serta melatih untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat. Program SSM bagi fasa yang kedua akan diteruskan pada tahun 2024 dan UiTM sentiasa komited dalam menyokong aspirasi KPT bagi mengangkat kemahiran mahasiswa untuk dikongsikan kepada masyarakat setempat.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000