Latest News

Simposium Kecemerlangan Operasi 2023 dan Sesi Penilaian Pembentangan Akhir Finalis Kecemerlangan Operasi UiTM 2022

Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah menganjurkan Simposium Kecemerlangan Operasi 2023

dan Sesi Penilaian Pembentangan Akhir Finalis Kecemerlangan Operasi UiTM 2022 secara dalam talian pada 16 & 17 Ogos 2023 bertujuan untuk memantapkan pelaksanaan penambahbaikan proses kerja serta memperkukuh amalan Kecemerlangan Operasi di seluruh UiTM.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM. Bertemakan ‘Pembudayaan Kecemerlangan Operasi Dalam Organisasi’, Simposium Kecemerlangan Operasi 2023 memfokuskan kepentingan penambahbaikan proses kerja agar seimbang dengan inovasi yang dihasilkan. Pembudayaan Kecemerlangan Operasi Dalam Organisasi merujuk kepada proses menggalakkan dan mewujudkan piawai operasi yang tinggi dalam semua aspek. Ini melibatkan penekanan kepada pelaksanaan prosedur terbaik, inovasi, pengurusan sumber, dan peningkatan berterusan untuk mencapai prestasi yang optimum. Pembudayaan ini akan memberi impak yang besar terhadap prestasi organisasi daripada aspek kepuasan hati pelanggan, penjimatan kos dan sumber serta penjimatan tempoh penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, sesi perkongsian pula menampilkan dua orang penceramah jemputan iaitu Encik Mohd Helmi Roslan, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan & Kejuruteraan di Hicom Diecasting dan Ir. Dr. Noriah Yusoff, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM yang telah berkongsi kaedah, amalan dan pelaksanaan berkenaan penambahbaikan proses kerja di industri dan akademik. Perkongsian yang cukup menarik dan bermanfaat untuk warga universiti mengambil maklumat dan informasi terkini dalam pelaksanaan bersama UiTM.

Manakala, Sesi Penilaian Pembentangan Akhir Finalis Kecemerlangan Operasi UiTM 2022 buat pertama kalinya dibuka untuk tontonan umum secara dalam talian menggunakan pelantar Zoom. Enam belas (16) finalis telah berentap dengan sembilan (9) proses kerja kategori akademik dan tujuh (7) proses kerja kategori pentadbiran dan kewangan. Pada kali ini, lapan (8) orang panel penilai yang professional dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang masing-masing telah dilantik menjurikan sesi penilaian pembentangan akhir ini.

Syabas kepada semua warga universiti yang telah berusaha melaksanakan penambahbaikan proses kerja yang membantu UiTM menjadi sebuah universiti berprestasi tinggi. Besar harapan kami agar Simposium OE 2023 dan Sesi Penilaian Pembentangan Akhir Finalis OE 2022 ini bukan sahaja menjadi wadah perkongsian ilmu terkini, malah menjadi tempat inspirasi bagi kecemerlangan operasi dalam pelbagai bidang dan memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh warga universiti dalam usaha membudayakan penambahbaikan proses kerja di PTJ masing-masing.

InQKA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Naib Canselor, barisan Pengurusan Kanan UiTM, Ketua-ketua Jabatan, OE Trainer dan seluruh warga UiTM atas kepercayaan, sokongan padu dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang aktiviti penambahbaikan proses kerja berlaku di UiTM. InQKA sentiasa bersedia untuk membantu semua warga dalam melaksanakan OE di PTJ masing-masing. Teruskan berinovasi dan memberi inspirasi.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000