Latest News

iCEPS UiTM: Merentasi 50 Tahun Pendidikan Unggul, Mengukuhkan Hubungan Industri

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2023- Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Norzaini Azman telah menyempurnakan pelancaran buku yang bertajuk “Transformasi Pendidikan Global”

pada Majlis Makan Malam Gala bersempena ulang tahun ke 50 penubuhan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM(iCEPS) di dalam industri pendidikan tinggi bertempat di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur.

“Melalui buku ini juga dapat kita lihat transformasi iCEPS yang mengamalkan kaedah Jimat, Inovatif dan Jana dimana warganya telah diterapkan dengan budaya sentiasa menggunakan sumber manusia, sumber masa dan sumber fizikal secara optimum bagi mencapai impak dalam inisiatif penjanaan universiti.”, katanya dalam ucapan sempena ulang tahun ke 50 penubuhan iCEPS UiTM.

Memetik ucapannya yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, iCEPS dilihat telah memainkan peranan utamanya secara inklusif melalui program separuh masa, kursus-kursus jangka pendek, program profesional dan francais antarabangsa. “Melalui kepelbagaian ini, institusi ini bakal melebarkan sayapnya ke peringkat yang lebih tinggi melalui pemindahan ilmu dan penggunaan teknologi terkini.”

Selain itu, sistem pengurusan pembelajaran UiTM U-Future yang dibangunkan oleh iCEPS, merupakan platform rasmi e-pembelajaran UiTM yang telah digunapakai semenjak tahun 2020. Pembangunan platform ini telah banyak membantu universiti semasa berdepan isu global iaitu penularan wabak Covid-19.

Pada majlis tersebut, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Norzaini Azman turut mengumumkan pelancaran Program Pembelajaran Sepanjang Hayat 2.0 yang akan memberi peluang pembelajaran jangka panjang kepada masyarakat secara meluas. Melalui perancangan memperkasakan keilmuan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat, syarikat telekomunikasi CelcomDigi turut memainkan peranan dalam memberikan sumbangannya melalui kerjasama dengan iCEPS yang disebut sebagai Smart Education. Melalui gabungan dua industri ini, pelaksanaan pendigitalan dalam sistem pembelajaran akan menjadi lebih mampan dan berkualiti.
Antara bidang utama dalam inisiatif ini adalah:

i. Digital Learning Platforms
ii. Content Delivery and Accessibility
iii. Skills Development
iv. Research and Innovation
v. Community Engagement

Kolaborasi ini akan membolehkan para profesional dalam bidang masing-masing berinteraksi secara langsung dengan ahli industri serta berkongsi pengalaman.

Majlis Makan Malam Gala ini turut diserikan dengan kehadiran wakil daripada Kolej-Kolej Bersekutu UiTM. Antaranya adalah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Kolej Yayasan Pahang, Kolej FELCRA, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Melaka International College of Science & Technology dan East West International College.

Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM(iCEPS) merupakan sebuah pusat pendidikan yang menyediakan peluang tambahan kepada golongan Bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui mod pengajian Separuh Masa dan juga mod Sepenuh Masa melalui program usahasama dengan Kolej-Kolej Bersekutu (KKB).

iCEPS UiTM juga memfokuskan kepada Pendidikan Transnasional yang merangkumi aktiviti-aktiviti seperti francais, program mobiliti, validasi, aktiviti penyelidikan dan lain-lain. iCEPS telah melebarkan sayapnya ke peringkat global dengan menawarkan beberapa program UiTM secara usahasama kepada para pelajar Qaiwan International University, Kurdistan Iraq.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000