BANGKOK, 30 DISEMBER 2023 – Seramai 20 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia
dan Student Government Chulalongkorn University (SGCU) telah menganjurkan program ASEAN Leadership BenchMax 2023 bertempat di Bangkok, Thailand pada 26 hingga 30 Disember 2023. Objektif utama program ini adalah untuk memenuhi visi UiTM ke arah Globally Renowned University (GRU) 2025 dalam aspek sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan. Aspek kepimpinan juga diterapkan melalui penyantunan komuniti setempat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Pengisian ASEAN Leadership BenchMax 2023 termasuklah forum “Empowering Leaders Towards Culturalism, Research, Innovation and Mental Well-Being” yang memfokuskan tentang aspek kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan kesejahteraan mental. Pada masa yang sama, MPP UiTM Shah Alam berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand untuk mempelajari sistem Kedutaan Malaysia di Thailand serta memperkenalkan seni budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan melalui acara flashmob di Asiatique The Riverfront, Bangkok. Tambahan pula, program CSR iaitu “Loving Hands Project” telah dijalankan di mana para peserta menyantuni komuniti rumah anak yatim, Baan Hathairak seperti gotong royong dan memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
Nur Fatini Hazan, Pengarah Program ASEAN Leadership BenchMax 2023 menyatakan bahawa program ini memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam membentuk karakter dan jati diri yang holistik melalui penglibatan elemen pengucapan awam, perbincangan ilmiah, pertukaran budaya, dan pemahaman sistem kepemimpinan mahasiswa di Thailand. Walau bagaimanapun, lawatan penanda aras ini tidak dapat berjalan dengan lancar tanpa tajaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Perdana Menteri (PMO), Expressionz Professional Suites, Diah Exclusive, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM.
Tuntasnya, program ASEAN Leadership BenchMax 2023 telah memberikan banyak manfaat kepada para peserta dalam aspek kemenjadian mahasiswa di universiti. Pemimpin pelajar dapat memperoleh pengetahuan baru dan perspektif global, memperkaya pengalaman akademik dan pembangunan diri mereka. Justeru, peluang untuk memahami isu-isu global dan berkolaborasi dalam projek antarabangsa membentuk pemimpin yang peka dan berdaya saing di peringkat global. Penglibatan dalam program sukarelawan atau projek komuniti semasa lawatan juga memperkukuh nilai-nilai kepimpinan berbudi pekerti dan tanggungjawab sosial.