JINJIANG, CHINA 24 MEI 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah diberi penghormatan melalui jalinan strategik dengan Quanzhou Vocational and Technical University (QVTU) untuk memperkenalkan dua produk premier kebanggaan UiTMCK iaitu
Batik Kemuning dan Aksesori Logam Kemuning kepada pelajar dan pemain industry di Jinjiang, China. Peluang ini telah dijayakan dengan kerjasama dari Jabatan Seni Reka Logam Halus, yang diwakili oleh T.S Emilia Abdull Manan, Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTMCK.
Program yang berlangsung sewaktu 2024 Jinjiang Vocational Education Week pada 16 – 18 Mei 2024 lalu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari delegasi tempatan dan antarabangsa. Selaku tuan rumah kepada acara yang penuh warna ini, QVTU telah membuka ruang kepada UiTM melalui inisiatif Malaysia Maritime Silk Road Institute untuk mempamer dan mengetengahkan Batik Kemuning UiTMCK dan koleksi barang kemas KPSK kepentas global. Antara pengisian acara adalah sesi bicara seni Batik Kemuning oleh T.S Emilia Abdull Manan kepada para mahasiwa QVTU dan pemain industri yang telah berpeluang mengenali teknik yang digunakan dalam penghasilan Batik Kemuning serta keindahan seni budaya Melayu. Melalui Kemuning-on-Runaway para hadirin berpeluang melihat dengan lebih dekat peragaan Batik Kemuning dalam pelbagai gaya yang menawan.
Selain dari itu, UiTMCK juga memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan batik dan aksesori Kemuning melalui reruai pameran yang disediakan pihak penganjur. Produk yang dihasilkan oleh pelajar diploma di KPSK UiTMCK telah menarik minat pelbagai lapisan pengunjung ketika pameran tersebut mengagumi kehalusan hasil kerja tangan dan ketelitian dalam ukiran yang masih mengekalkan lambang dan warisan budaya Melayu Tradisional disamping meneruskan kelestarian kraftangan moden. Semoga peluang dan ruang yang diberikan ini telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh UiTMCK untuk terus memartabatkan kualiti akademik dan juga diharap perkongsian warisan identiti Malaysia ini mengangkat amanat Globally Renowned University 2025 demi Pertiwi. Tahniah!