Kuala Lumpur, 10 Ogos 2024 – Tahniah dan syabas diucapkan kepada Bulan Sabit Merah Malaysia, Cabang UiTM Selangor, Kampus Puncak Alam (VAD SGR112) kerana telah berjaya merangkul Anugerah
Penganjur Kempen Derma Darah Kutipan Responsif, Kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) daripada Pusat Darah Negara sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024. Anugerah ini diterima hasil 26 siri Kempen Derma Darah yang dijalankan sejak tahun 2016 sehingga Julai 2024, dengan jumlah terbanyak diderma kepada Pusat Darah Negara kategori IPTA iaitu sebanyak 4425 pek darah diderma kepada Pusat Darah Negara.
Kempen Derma Darah yang telah dijalankan melibatkan peserta yang terdiri daripada staf, mahasiswa UiTM serta masyarakat setempat. Hadir menerima anugerah adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, Saudara Muhammad Nabil Rahimi, Pengurus Kempen Derma Darah BSMM UiTM Cawangan Selangor (Kampus Puncak Alam), Encik Nik Mohamed Zulhayiz bin Zulkifli yang mewakili Penasihat BSMM, Puan Fatimah Sham, bersama wakil ahli majlis tertinggi BSMM UiTM.
Program derma darah yang dikendalikan oleh pelajar untuk pelajar dengan sokongan daripada pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor berjaya memberi impak yang besar dan positif dalam pelbagai aspek bukan sahaja berupaya memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga memperkaya pengalaman dan pembangunan diri pelajar yang terlibat. Disamping itu, kempen derma darah ini juga memperlihatkan peranan UiTM sebagai institusi yang prihatin dan proaktif dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan negara khususnya dalam menyediakan bekalan darah mencukupi untuk keperluan perubatan dan semasa situasi kecemasan. Pengiktirafan yang diterima ini sekaligus membawa nama UiTM yang telah menyumbang kepada keperluan negara.
Penglibatan mahasiswa dalam persatuan BSMM ini berupaya memberi suatu nilai tambah yang membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran mahasiswa selain melahirkan mahasiswa yang seimbang dalam konteks akademik, serta menyediakan mahasiswa untuk kehidupan profesional dan sosial di masa depan.