Latest News

UiTM Raikan Semangat Kebersamaan Alumni Sempena Hari Alumni 2024

SHAH ALAM, 19 DISEMBER 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini meraikan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap alma mater menerusi Perhimpunan Alumni sempena Hari Alumni yang berlangsung

di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. Acara ini menjadi penutup simbolik kepada sambutan 25 tahun UiTM diisytiharkan sebagai sebuah universiti.

Perhimpunan ini mencatat sejarah tersendiri dengan menghimpunkan alumni dari pelbagai era, termasuk Dewan Latehan RIDA (DLR), Maktab MARA, dan Institut Teknologi MARA (ITM). Ia bertujuan memperkukuh ikatan persaudaraan alumni dan memperingati sumbangan mereka kepada pembangunan universiti dan negara.

Majlis ini diserikan dengan ucaptama oleh Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, yang menyeru alumni untuk terus menyokong alma mater secara proaktif.

“Sinergi kukuh serta komitmen tinggi daripada alumni amat penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi terus mencapai kegemilangan. Alumni bukan sekadar lepasan universiti; Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah duta ilmu, pemimpin perubahan, dan penggerak agenda kemajuan negara,” tegas beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, dalam ucapannya menekankan peranan penting alumni dalam memastikan UiTM terus relevan dan berjaya. “Sumbangan kewangan, kepakaran, serta keprihatinan alumni UiTM pasti memberi impak mendalam kepada alma mater. Dengan semangat kebersamaan ini, kita akan memastikan masa depan generasi seterusnya terus terbela,” katanya.

Hari Alumni 2024 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk forum bertajuk “Alumni Penggerak Transformasi Negara” yang menampilkan empat panelis ternama dalam kalangan alumni UiTM iaitu Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin – Naib Canselor UiTM, Datuk Mohd Syafiq Hj. Abdullah – Pengasas & Pengarah Urusan Kumpulan VFive, TPr. Ts. Norliza Hashim – Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia dan Datuk Hisham Hamdan – Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Berhad.

Sebagai simbolik kebersamaan, alumni yang hadir melafazkan ikrar khas untuk memperkukuh sokongan terhadap UiTM, sambil mengenakan pakaian berwarna ungu sebagai tanda cinta kepada alma mater mereka.

Majlis ini sekali lagi membuktikan keunikan UiTM sebagai institusi yang bukan hanya mencipta profesional bumiputera terkemuka tetapi juga menyatukan komuniti alumni untuk sama-sama menggerakkan transformasi negara.

Disediakan oleh:
Jabatan Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN)
Universiti Teknologi MARA

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000