Latest News

Sambutan Hari OKU UiTM 2024: Komitmen Ke Arah Kelestarian OKU dan Varsiti Inklusif dan Mesra OKU

KLANG, 13 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari OKU UiTM 2024 bertemakan Hari OKU peringkat kebangsaan, iaitu “Memperkasa Kepimpinan OKU Demi Inklusiviti Mampan.” 

Majlis yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar Klang ini menjadi platform untuk meraikan pencapaian warga OKU sebagai menzahirkan kepedulian dan komitmen UiTM dalam menyokong agenda pemerkasan OKU.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut menekankan bahawa sambutan ini selari dengan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi Orang Kurang Upaya Muslim 2024–2028. Turut hadir memeriahkan majlis, YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid Ahli Dewan Negeri Batu 3, merangkap Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).

Majlis yang dihadiri seramai 210 warga OKU UiTM ini juga turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri), Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Bendahari UiTM, Cik Junita Jamaludin, dan Ts. Hj. Azizi Jantan, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) serta pengurusan tertinggi UiTM. Kehadiran ini menjadi melambangkan sokongan penuh pengurusan kanan UiTM terhadap usaha menjadikan agenda pemerkasaan OKU sebagai salah satu teras pembangunan universiti.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, yang ditemui sebelum majlis ini berlangsung menekankan bahawa tema Sambutan Hari OKU pada tahun ini juga sejajar dengan Prinsip 9R UiTM, khususnya Religion, Race, Relevant, Referred dan Respected. Melalui prinsip-prinsip ini, UiTM menekankan nilai keadilan, ihsan, dan kasih sayang dalam memastikan warga OKU diberi peluang setara tanpa diskriminasi, sejajar dengan kepelbagaian kaum dan aspirasi membina masyarakat harmoni. UiTM juga terus mendukung misi Globally Renowned, Locally Rooted dengan memastikan tiada warga OKU ketinggalan dalam mencapai kejayaan bersama.

Pada tahun 2021, tujuh anugerah utama telah diperkenalkan bersempena Sambutan Hari OKU UiTM sebagai penghargaan kepada warga OKU yang merangkumi mahasiswa OKU, staf OKU dan staf yang ada tanggungan OKU, tanpa melupakan peranan individu dan juga pusat tanggungjawab yang sentiasa cakna dalam menyantuni warga OKU di UiTM. Ini termasuklah Anugerah Khas Mahasiswa OKU Harapan, Anugerah Khas Staf OKU Menyerlah (Akademik dan Pentadbiran), Anugerah Penjaga OKU Misali, Anugerah Sahabat OKU Prihatin, Anugerah Disability Liaison Officer dan Anugerah Pusat Tanggungjawab (PTj) Prihatin.

Manakala Pengarah U-DServeD, Profesor Madya Ts. Dr. Roslinda Alias menyatakan, bersempena penubuhan kelima tahun U-DServeD pada tahun 2024, beberapa anugerah baru telah diperkenalkan sebagai galakan, pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan dan pencapaian warga OKU UiTM, khususnya mahasiswa OKU dipersada negara dan antarabangsa, yang dikenali sebagai Anugerah Khas Kembara. Antara anugera-anugerah yang diwujudkan termasuklah Anugerah Khas Kembara (Sukan), Anugerah Khas Kembara (Kokurikulum/Kesukarelawan), Anugerah Khas Kembara (Kepimpinan), Anugerah Khas Kembara (Akademik), Anugerah Khas Kembara (Kesenian dan Kebudayaan) dan Anugerah Khas Kembara (Alumni).

Dalam majlis yang sama, seramai lapan orang penerima Certificate Disability Management Professional (CDMP) yang terdiri daripada barisan penyelaras di Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-DServeD) turut dirai. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemegang CDMP di UiTM seramai 21 orang, secara tidak langsung menjadikan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) tertinggi yang mempunyai pensijilan profesional antarabangsa oleh National Institute of Disability Management and Research (NIDMAR), Kanada di Malaysia. Tujuan utama pensijilan profesional antarabangsa ini untuk memastikan pengurusan hilang upaya di UiTM dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan tuntas. Inisiatif pensijilan profesional ini dilaksanakan hasil daripada kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Majlis Sambutan Hari OKU UiTM 2024 turut menyaksikan penyerahan simbolik 250 buku Braille kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam melalui inisiatif Projek Braillethon yang telah dilaksanakan hasil kerjasama U-DServeD, PTAR, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan KL Braille Resources. Projek Braillethon ini telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “Most Digitized Books in a Programme”. Simbolik penyerahan buku berformat Braille di majlis ini  mendapat perhatian YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Beliau memuji UiTM dalam melaksanakan inisiatif pemerkasaan OKU melalui Projek Braillethon yang telah menghasilkan 250 buku Braille untuk Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), dan seterusnya bakal menjadikan PTAR UiTM antara gedung khazanah ilmu berformat Braille yang terbanyak di Malaysia.

Sambutan Hari OKU Peringkat UiTM 2024 ini bukan sekadar meraikan pencapaian tetapi menjadi titik tolak dalam memperkukuh agenda inklusiviti OKU, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, hormat, ihsan dan daya cipta. UiTM akan terus komited menjadi peneraju dalam memartabatkan komuniti OKU, menjadikan mereka sebahagian penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Disediakan oleh:

Roslinda Alias, Noor Sazila Md Sarip, Saadiah@Juliana Saadun

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000