Latest News

UiTM Catat Sejarah Kadar Kebolehpasaran Graduan Tertinggi

Shah Alam, 16 April 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) tertinggi sejak 2008 iaitu 92.6%, manakala Kadar Bekerja Graduan (GE)

turut mencecah 92.1%.

Pencapaian ini merupakan dapatan daripada Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang melibatkan graduan Sidang Konvokesyen ke-100 dan ke-101 dengan kadar respons 95.6% daripada keseluruhan 52,649 graduan.

Tahun ini menyaksikan peningkatan signifikan pada peratusan graduan yang menikmati gaji permulaan melebihi RM4,000 sebulan, daripada 7.6% (2023) kepada 9.3% (2024). Prestasi ini bukan sahaja mencerminkan kualiti graduan UiTM tetapi juga mengukuhkan keyakinan industri terhadap kemampuan mereka.

Pada masa yang sama, penyertaan graduan UiTM dalam syarikat-syarikat multinasional (MNC) turut menunjukkan perkembangan positif dengan 16.3% graduan berjaya menempatkan diri di MNC, peningkatan daripada 4,812 (2023) kepada 5,037 graduan (2024).

Pencapaian graduan UiTM tidak terhad kepada peringkat domestik sahaja. Jumlah graduan yang berjaya membina kerjaya di luar negara juga meningkat daripada 128 kepada 160 orang, sekaligus menaikkan nama UiTM di persada antarabangsa.

Selain itu, UiTM turut berbangga dengan peningkatan jumlah graduan yang menceburi bidang keusahawanan dan pekerja bebas (freelancers) seramai 1,609 orang, dengan 500 daripadanya telah berjaya menjadi usahawan berstatus majikan yang mencipta peluang pekerjaan untuk masyarakat.

Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen pelbagai pihak dalam ekosistem UiTM. Daripada 447 program akademik yang ditawarkan di UiTM, meliputi peringkat diploma sehingga ke peringkat PhD, 180 program berjaya mencapai GE 100%, manakala 151 program lain mencatatkan GE melebihi 90%. Pencapaian ini membuktikan program akademik UiTM terus relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Sebagai penyumbang utama graduan berkualiti negara yang mewakili hampir 40% graduan IPTA dan 20% daripada jumlah keseluruhan graduan IPT di Malaysia, UiTM akan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing tinggi.

Pencapaian ini merupakan hasil sinergi menyeluruh antara ICAN, HEA, HEP, TRU, pengurusan fakulti, kampus, cawangan dan pasukan GE UiTM seluruh negara. UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga termasuk graduan, kepimpinan universiti, staf akademik dan pentadbir, atas dedikasi dan strategi yang membuahkan lonjakan prestasi dan kualiti GE pada tahun 2024.

UiTM juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada rakan industri dan alumni yang terus menyokong melalui peluang pekerjaan dan program peningkatan kemahiran professional kepada graduan. Selari dengan 7 Fokus Utama KPT, UiTM komited untuk menyediakan bakat terbaik negara yang berdaya saing dan mampu mendorong kemajuan ekonomi Malaysia.

Nota: Mulai 2024, KPT memperkenalkan definisi baharu GE sebagai perkadaran graduan bekerja kepada bilangan graduan dalam tenaga buruh, manakala GM kekal sebagai indikator penting dalam pengukuran kebolehpasaran melalui bilangan graduan bekerja, menyambung pengajian, sedang menunggu penempatan dan mengikuti program peningkatan kemahiran.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000