Latest News

UCS Prihatin: Briged Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir Di PPS SK Sungai Binjai, Klang

Meru, 12 April 2025 – Komitmen terhadap nilai kemanusiaan dan solidariti terus dizahirkan oleh UiTM Cawangan Selangor apabila seramai 20 orang pelajar sukarelawan daripada Persatuan Briged Sukarelawan bersama

2 orang staf Unit Kokurikulum telah menyertai Misi Bantuan Mangsa Banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Sungai Binjai, Klang.

Misi kemanusiaan ini dilaksanakan dengan kerjasama erat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, serta sokongan daripada Ketua Kampung setempat.

Pasukan sukarelawan UiTM ini diketuai oleh Puan Nursyakirin Jantan, Pegawai Eksekutif (Kokurikulum) merangkap Penasihat Briged Sukarelawan, dan dibantu oleh Encik Wan Shahrul Nizam Wan Mohamed Ali, Kerani Kanan (Kokurikulum) selaku Penyelaras Briged Sukarelawan.

Sepanjang misi, para sukarelawan memainkan peranan aktif dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk penyediaan makanan, pengurusan logistik, penyaluran barangan asas, serta membantu menguruskan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir. Kecekapan, semangat empati, dan kerja berpasukan yang ditonjolkan membuktikan ketahanan dan kecekapan mahasiswa dalam situasi kecemasan.

Menurut Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), beliau amat berbangga dengan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh sukarelawan UiTM Cawangan Selangor. “Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa, tetapi juga membentuk sahsiah dan nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, turut menekankan bahawa program sebegini adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk melahirkan graduan yang berjiwa masyarakat, memiliki semangat kesukarelawanan dan bersedia menyumbang kepakaran serta tenaga kepada komuniti, khususnya dalam menghadapi situasi bencana.

Penyertaan dalam misi ini membuktikan bahawa UiTM Cawangan Selangor bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah berusaha melahirkan insan yang peka terhadap tanggungjawab sosial, sekali gus memperkukuhkan peranan institusi ini dalam membentuk masa depan negara yang lebih gemilang.

Penulis: Noorizan Che Rashid

Editor: Nor Azyyati Md Saad

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000