Berita Terkini

Forum ESI i-DART & Perjuangan Menuntut Kemerdekaan

Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam – Program Suara Merdeka EDU yang telah diadakan bermula pada 17 Ogos sehingga 15 September 2022

telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan UiTM dengan hasil kerjasama Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan (SMFP) dan Science Education Society (SEEDS). Program yang bertemakan “Makna Sebuah Kemerdekaan di Sebalik ESI i-DART” ini adalah untuk menyambut dan meraikan ulang tahun ke 65 kemerdekaan tanah air Malaysia.

Di samping itu, program ini juga diharap pada masa yang sama dapat memupuk nilai ‘Excellence, Synergy, Integrity’ (ESI) dan ‘Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin, dan Tanggungjawab’ (i-DART) dalam kalangan masyarakat dan warga UiTM khususnya para warga dan pelajar Fakulti Pendidikan melalui aktiviti-aktiviti kenegaraan sesuai dengan konsep kemerdekaan negara. Program ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa dan pelajar sekolah tentang kepentingan mengekalkan kemerdekaan negara. Antara pertandingan dan aktiviti yang diadakan sepanjang program ini adalah Pertandingan Video Kreatif, Ceramah Nilai ESI i-DART dan Forum ESI i-DART dan Perjuangan Menuntut Kemerdekaan.

Pada 15 September 2022, Forum ESI i-DART dan Perjuangan Menuntut Kemerdekaan telah diadakan secara fizikal di DK200 Fakulti Pendidikan, UiTM Puncak Alam dan juga siaran langsung di laman YouTube, EDUTube Fakulti Pendidikan UiTM . Majlis turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM. Seterusnya, dewan diserikan dengan kedatangan 3 orang panelis jemputan khas iaitu Dr. Azharudin Mohamed Dali (Pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya), En. Mohd Syamsul Mohd Yusof (Pengarah dan Penerbit Filem) dan Pn. Hajah Nooral Khalifah Haji Abu Bakar (cucu Mat Kilau).

Kehangatan perbincangan antara 3 orang panelis bersama moderator, Dina Farisha Zulkurnain (pelajar semester 5 Fakulti Pendidikan) tentang nilai ESI i-DART yang perlu diterapkan dalam diri mahasiswa dan perjuangan pahlawan terdahulu bagi menuntut kemerdekaan mendapat perhatian hebat daripada penonton semasa siaran langsung di YouTube dan juga seisi dewan. Sebelum sesi forum berakhir, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Ab. Rahman sempat bertanya soalan kepada Dr. Azharudin dalam sesi soal jawab dan telah dijawab dengan pengisian yang padat oleh beliau.

Sebagai penutup majlis, telah berlangsung sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Video Kreatif bagi kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT. Seterusnya, sesi penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris diiringi Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Ab. Rahman kepada panelis jemputan sebagai tanda penghargaan.

Diharapkan agar pengisian Forum ESI i-DART & Perjuangan Menuntut Kemerdekaan dapat memberi manfaat serta ilmu pengetahuan yang baharu kepada masyarakat terutama mahasiswa demi melahirkan insan yang luar biasa dan berkualiti dalam mencari makna sebuah kemerdekaan. Memetik kata Mahatma Gandhi, “masa depan itu tergantung pada apa yang kita lakukan hari ini”.

Klik capaian untuk menonton rakaman Forum ESI i-DART & Perjuangan Menuntut Kemerdekaan: https://youtu.be/GTOKpnB4Xt4

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000