Berita Terkini

Lebih 400 Penduduk Saratok Sertai Program Komuniti Mahir Wang (KOMAW) Anjuran UiTM Cawangan Sarawak Dengan Kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

SARATOK, 1 JANUARI 2023 (AHAD): Kepentingan literasi atau kemahiran dalam

mengendalikan kewangan amat diperlukan oleh setiap individu terutama sekali dalam menempuh kos sara hidup dan kos barangan keperluan yang semakin meningkat. Malah, ramai juga individu yang kurang celik kewangan senang ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti PTPTN, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Tabung Baitulmal Sarawak, berserta agensi bukan kerajaan seperti Kadri Motors Sdn Bhd dan Spay Global berganding bahu mengadakan program KOMAW 2022/2023 yang julung kali diadakan bersama komuniti di Saratok, Sarawak pada 31 Disember 2022 sehingga 1 Januari 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Tuan Haji Mohamad Duri amat menyokong serta menggalakkan penglibatan secara langsung ahli akademik dan profesional untuk berkongsi pengetahuan dan memberi pengukuhan asas kewangan di kalangan penduduk Saratok secara khususnya. Malah, ketiga-tiga Pemanca iaitu Encik Sahari Gani, Encik Thomas Lamit Anak Lutik dan Encik Lim Guan Ann, berserta Penghulu-penghulu di perkampungan persekitaran juga turut hadir bersama.

Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh belia, anak-anak serta ibu bapa antaranya perlawanan futsal, pertandingan mewarna, pertandingan azan dan permainan berbentuk pelaburan kewangan. Pihak jawatankuasa Masjid Al-Muhtadin, penganjur bersama dari daerah Saratok turut membantu mengadakan ceramah bertajuk, “Caro nak kayo dunio dan akhirat” yang telah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Hj Sulaiman bin Hasim, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Program khidmat masyarakat sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk-penduduk di samping dapat memberi peluang kepada UiTM dan agensi terlibat menjalinkan hubungan kerjasama dengan penduduk setempat. Pelbagai isu menarik seperti taklimat mengenai khidmat sokongan kewangan turut disediakan untuk pekebun kecil yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Arfan bin Johari (Ketua stesen MPOB Sesang) serta maklumat program-program yang ditawarkan di UiTM oleh Dr Azilawati Banchit (Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Sarawak) kepada para peserta.

Forum berkenaan “Ibu bapa perancang kewangan anak-anak: Superhero atau Supervillain?” yang dibincangkan oleh panel terdiri daripada YB Mohamad Duri, Pn Hjh Norlida Sharkawi serta Encik Yussuf Chik (Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Sarawak) mendedahkan bagaimana ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam mendidik asas kewangan kepada anak-anak mereka. Akhir sekali, peserta juga didedahkan dengan rahsia bagaimana untuk “Berpencen dengan gaya” oleh Rektor UiTM Cawangan, Prof Dato Dr Jamil Hamali.

Majlis Penutupan dan Penangguhan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat, Tuan Haji Mohamad Duri, ADUN N38 Kalaka, disaksikan oleh Prof. Dato Dr. Jamil Bin Haji Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak serta Encik Yussuf bin Chik, Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Sarawak. Dalam ucapannya, YB Tuan Haji Mohamad Duri menzahirkan rasa terima kasih kepada semua peserta dan penduduk yang hadir, serta kesemua pihak yang telah memberi sumbangan tenaga, wang dan masa bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar.

Pada majlis tersebut, turut menyaksikan pemberian hadiah kepada para pemenang iaitu aktiviti money run, pertandingan mewarna, pertandingan azan dan futsal serta cabutan bertuah kepada ahli yang hadir. PTPTN turut memberikan sumbangan tanggungjawab sosial Korporat (CSR) bagi membantu menjayakan program yang memberi impak positif kepada komuniti di Saratok di samping menyediakan peluang kemahiran kepada belia terutama berkenaan literasi kewangan. Jumlah ini juga melibatkan pemberian hadiah dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime kepada 170 pemenang pertandingan. Manakala cabutan bertuah dalam bentuk evoucher adalah sumbangan daripada Spay Global sebagai galakan kepada orang ramai akan pentingnya kewangan digital di era ini.

“Adalah diharapkan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime daripada PTPTN menjadi dana benih atau wang simpanan permulaan bagi penerima untuk memulakan simpanan sekali gus menjadi dorongan kepada ibu bapa untuk memastikan pertumbuhan wang tetap subur dan bertambah dari masa ke semasa, serta dapat dinikmati pada masa yang diperlukan untuk masa depan anak-anak.” ujar Mohamad Duri.

Program perintis ini diharapkan dapat diteruskan di daerah lain untuk memastikan program literasi kewangan di Sarawak tetap menjadi agenda utama pihak kerajaan Negeri Sarawak.

 

Selanjutnya

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000