MACHANG, 26 Jun 2023 – Program Digital@K.K.D pada 24 Jun 2023 anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital bersama Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor Naib Canselor UiTM dan Pengurusan Tertinggi ke UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dalam melaksanakan ‘Jelajah Saya Digital’, MyDigital@K.K.D, dan PerantiSiswa bagi meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia terhadap revolusi digital.
UiTM amat berbangga kerana sekali lagi diberi peluang untuk turut serta dalam program C.S.R yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian. Untuk makluman, UiTM pernah diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi majlis pembukaan pengagihan PerantiSiswa pada 3 September 2022 dan majlis perasmian MyDigital KKD pada 5 Mac 2023 yang lalu. Pihak universiti bersyukur kerana adanya sinergi yang wujud antara Kementerian dan UiTM.
Kemajuan teknologi memberikan impak positif bukan sahaja kepada sistem pendidikan malah dalam kehidupan kita seharian. Dalam konteks pembelajaran di universiti, perlu kita akui bahawa, fasa pandemik telah menyumbang kepada penggunaan teknologi dalam medium pembelajaran alaf baharu yang dilihat mampu membantu melonjakkan prestasi dan celik teknologi dalam kalangan mahasiswa.
Justeru itu, dengan adanya bantuan yang diberikan oleh pihak kementerian seperti PerantiSiswa, UiTM yakin, rata-rata mahasiswa yang telah menerima PerantiSiswa bersetuju bahawa ia banyak membantu mereka dalam capaian maklumat, dan pengambilan nota yang lebih efisien. Pada awal program, sesi perkongsian maklumat telah dilaksanakan oleh agensi-agensi yang terlibat. Semoga perkongsian tersebut dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.