Berita Terkini

Program Semarak Siswa Madani Universiti Awam di Sungai Besar

SUNGAI BESAR, 16 Julai – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor telah menganjurkan Program Semarak Siswa Madani (SSM) Universiti Awam (UA) Fasa 1

bagi hari kedua di Sungai Besar, Selangor sekaligus menunjukkan sokongan terhadap inisiatif terbaharu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pelancaran program SSM telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi pada 20 Jun 2023 di di Dewan Zabaa Menara KPT.

Inisiatif ini selari dengan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 dalam melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dari segi mental dan jasmani. Ia turut membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti.

Empat mekanisme pelaksanaan program ini merangkumi program KPT Prihatin Madani, Students For Society (S4S), Knowledge Transfer Programme (KTP) dan TVET Komuniti Madani.

Terdapat 8 aktiviti telah dirangka sejajar dengan empat teras utama pelaksanaan program iaitu Program Jom Masuk UiTM; Klinik Bola Sepak, Bola Jaring dan Aktiviti Sukan Semarak Siswa Madani; Ceramah Hala Tuju Selepas SPM dan Ceramah Kemahiran Keibubapaan; Pemakaian Busana Tradisional & Pameran Bebas Denggi; Program Kelas Memasak Pemakanan Sihat & Pertandingan Memasak; Bengkel Tanaman Fertigasi & Asas STEM; Bengkel Seni@Komuniti:Beautiful Malaysia dan Digital Startup Success.

Program hari kedua bagi peringkat UiTM Cawangan Selangor di Sungai Besar ini telah dirasmikan oleh Dato’ Mohd Imran Tamrin, Presiden Majlis Belia Negeri Selangor dengan menyasarkan penglibatan seramai 1000 orang komuniti. Menghadiri majlis Perasmian Program SSM bersama komuniti di Sungai Besar, Selangor ialah Datuk Dr Hjh. Roziah Janor, Naib Canselor UiTM dan Profesor Ts. Dr Asmah Awal, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi UiTM Cawangan Selangor.

Perlaksanaan program ini juga turut melibatkan lebih 100 orang kakitangan dan pelajar dari UiTM Cawangan Selangor. Secara keseluruhannya, UiTM merupakan IPT yang terbesar dari segi jumlah penyertaan institusi dan bilangan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang SSM berlangsung. UiTM sangat komited dalam mengangkat bakat dan kemahiran mahasiswa agar dapat dikongsikan serta memanfaatkan masyarakat dalam segenap bidang pengetahuan dan dijangka akan diteruskan ke Program SSM Fasa 2 pada tahun 2024.

UiTM Cawangan Selangor percaya bahawa program seumpama ini telah membuka peluang kepada pelajar dan kakitangan universiti mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat. Pada masa yang sama, program ini telah menjadi platform saluran perkhidmatan kepakaran dan kemahiran daripada warga UiTM cawangan Selangor kepada komuniti terdekat.

 

Selanjutnya

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000