Berita Terkini

Menteri Pendidikan Tinggi Merasmikan Konvensyen MPP UiTM Se-Malaysia Sesi 2022/2023

TELUK BAHANG, 3 SEPTEMBER 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menganjurkan Majlis Konvensyen MPP UiTM se-Malaysia sesi 2022/2023 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin,

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertempat di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang. Majlis ini melibatkan 241 MPP UiTM dari 13 cawangan seluruh Malaysia. Objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk mencari resolusi dan penyelesaian dalam memenuhi keperluan mahasiswa di UiTM dan menyahut seruan KPT dalam memperkasakan mahasiswa sekaligus bagi merealisasikan objektif Universiti Teknologi MARA untuk melahirkan produk yang bukan sahaja bagi memenuhi pasaran guna tenaga manusia tempatan, malah bersedia untuk berkhidmat di peringkat global.

Konvensyen ini menumpukan kepada empat teras utama mengikut empat jabatan iaitu Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa, Pembangunan Mahasiswa, Perhubungan dan Pengantarabangsaan dan Pengurusan Sumber Informasi. Empat teras ini mencipta persekitaran yang memihak kepada pembelajaran dan pertumbuhan mahasiswa. Hal ini merangkumi pelbagai aspek yang membantu mahasiswa berjaya secara akademik, emosi, dan sosial. Pengalaman universiti yang menyeluruh dan seimbang ini membantu mahasiswa membangunkan diri mereka sebagai individu yang berkualiti dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan selari dengan keperluan mahasiswa kini.

Pada masa yang sama, UiTM juga menyahut dan menyokong penuh agenda YB Menteri KPT berkenaan pemerkasaan mahasiswa yang merupakan salah satu teras daripada 11 agenda utama KPT yang bertujuan untuk memastikan pendidikan tinggi terus memperoleh kepercayaan masyarakat dan negara. Selain itu, UiTM menyarankan gerakan pelajar diberi kebebasan dan kuasa bersesuaian selaras aspirasi dan cita-cita nasional. Ini kerana ruang lingkup pendidikan semakin berbilang dimensi sehingga menuntut peranan semua pihak dan pemegang taruh, khususnya mahasiswa. Platform ini dilihat dapat menerapkan nilai-nilai kepimpinan era baharu dalam menyuarakan idea serta pandangan melalui perbahasan dan perbincangan bersama.

Menerusi Globally Renowned University (GRU) 2025, UiTM memberi fokus pada perubahan, perkembangan dan keperluan membabitkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). Hal ini dapat memastikan UiTM kekal relevan di peringkat nasional dan global. Konvensyen ini merupakan platform terbaik ke arah mewujudkan aspirasi ini dan kerjasama semua pihak adalah kunci kepada kejayaan yang mendatang.

Oleh itu, UiTM mengharapkan warganya akan terus berjaya dalam bidang kepimpinan dan dapat mengaplikasi segala pengalaman yang diperoleh untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Universiti berhasrat untuk terus membantu dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan mahasiswa dan memberi sokongan penuh kepada para pemimpin pelajar.

 

More News

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000