Berita Terkini

Program Masyarakat Sihat (MaSiH), UiTM Komited Perkasa Malaysia Madani

PUNCAK ALAM, 26 OKTOBER 2023 – Majlis perasmian Program Masyarakat Sihat (MaSiH) dan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 berlangsung hari ini di Auditorium 2, Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Jamaliah Jamaluddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor mewakili YAB Menteri Besar Selangor.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi HASA bersama-sama Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. bekerjasama mengadakan Program MaSiH yang berkonsepkan saringan kesihatan, promosi dan pendidikan kesihatan, kaunseling kesihatan, vaksinasi masyarakat dan aktiviti sukarelawan. Program ini merupakan inisiatif bagi menyokong aspirasi kerajaan membentuk Malaysia Madani iaitu ke arah mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih maju dan makmur berteraskan 6 nilai teras termasuk aspek ‘kesejahteraan’ dan ‘ihsan’ iaitu menerusi penganjuran aktiviti yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan kepada masyarakat.

Majlis perasmian ini turut dihadiri Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, yang mewakili YBhg. Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)/ menjalankan fungsi Naib Canselor UiTM, dan Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim, Pengarah HASA.

Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran orang awam tentang pentingnya membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Program ini menyediakan perkhidmatan secara percuma dan dijangka mampu mengurangkan beban segelintir warga awam khususnya kumpulan B40. Kerjasama strategik ini melibatkan 12 siri program di lokasi yang berasingan di Kuala Selangor. Program pertama telah mula diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 7 Oktober 2023 dengan kehadiran YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor. Program ini turut melibatkan kolaborasi bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Bersempena majlis perasmian ini juga, dilancarkan ‘Aplikasi MaSiH’ yang telah dibangunkan oleh HASA, UiTM. Aplikasi ini mampu meningkatkan impak program komuniti khususnya berkaitan pengurusan data kesihatan yang lebih sistematik melibatkan warga awam yang mendapat perkhidmatan dan rawatan yang lanjut. Majlis hari ini juga turut meraikan sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 dengan tema ‘Know Your Heart”. Hari Jantung Sedunia disambut setiap tahun pada 29 September selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penyakit jantung dan mempromosikan cara hidup sihat bagi kesihatan jantung yang lebih baik.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000