Berita Terkini

Pensyarah UiTM Perak Menjadi Pakar Rujuk Bagi Subjek Arca di Hebei Academy of Fine Arts, China

ShijiaZhuang, 29 February 2024: Program Malaysia – China Academic Exchange 2024 (MCAE) baru Sahaja berlangsung pada 24 February sehingga 02 Mac 2024 yang lalu.

Program ini merupakan satu lawatan bagi menjalinkan usahasama diantara UiTM Perak (UiTM CP) bersama Hebei Academy of Fine Arts (HBAFA) di China. Program ini secara keseluruhannya berlaku di HBAFA selama lapan hari. Program yang memfokuskan kepada halatuju akademik serta menjalinkan usahasama bersama di dalam bidang akademik. Program ini turut membincangkan penganjuran bersama di antara Asia Community of Art & Design (AICAD), UiTM CP dan HBAFA bagi mengadakan 4 program AICAD iaitu AICAD Art Exhibition, AICAD Conference, AICAD IID dan INDDEX. Kesemua program AICAD akan berlangsung pada bulan September 2024 di HBAFA.

Kunjungan delegasi UiTM CP ke HBAFA diketuai oleh Rektor UiTM CP iaitu Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim PMP. Majlis perbincangan diantara UiTM CP dan HBAFA bermula pada 24 September 2024 dengan delegasi UiTM CP telah disambut oleh Presiden Mr. Zhen Zhongyi dan serta staf dan pensyarah HBAFA.

Sepanjang kunjungan ini, beberapa program telah diadakan seperti lawatan ke studio dan pejabat industri kreatif, lawatan sekitar kampus HBAFA serta melihat tapak bagi mengadakan program AICAD pada bukan September ini, serta pertukaran kepakaran pensyarah UiTM CP untuk mengajar bersama pensyarah HBAFA. Pada 29 February telah berlangsung pengajaran bersama (team teaching) diantara pensyarah UiTM CP dan pensyarah dari HBAFA. Pensyarah UiTM CP diwakili oleh En. Mohamad Hafiz bin Yahaya dan En. Muh Sarip Abd Rahman. HBAFA diwakili oleh Profesor Madya Zhaoyong. Pelajar yang terlibat rata-rata dari Jabatan Seni Arca dan Seni Persekitaran Hebei Academy of Fine Arts. Seramai 50 pelajar telah hadir bagi mendengar kuliah mengenai seni arca dan perkembangannya.

Kuliah dimulakan dengan paparan slaid mengenai seni kontemporari dan perkembangannya di Malaysia. Topik seni arca turut dijadikan sebagai tumpuan utama bagi syarahan ini. En. Mohamad Hafiz mengulas mengenai perkembangan seni arca di Malaysia serta perkembangannya. Setiap syarahan perlu diterjemah ke bahasa China kerana kebanyakan pelajar tidak memahami bahasa English. Para pelajar begitu teruja dengan perkongsian yang diberikan kerana syarahan banyak mengupas mengenai sejarah dan perkembangan seni Arca di Malaysia serta kaitannya dengan sejarah dunia.

Setelah sesi syarahan, pelajar diberi peluang bertanyakan soalan dan akan dijawab oleh pensyarah yang hadir. Pelajar banyak bertanyakan mengenai permasalahan idea di dalam penghasilan arca yang baik. Sekain dari itu, pensyarah perlu menjelaskan mengenai prinsip penghasilan arca dan proses yang akan dilakukan ketika penghasilan arca. Kaedah pengajaran kedua-dua institusi ini berbeza dimana UiTM CP banyak menggunakan kaedah pengajaran seni dari Bauhaus art School yang banyak menekankan elemen dan prinsip seni serta bersifat abstrak. Manakala HBAFA lebih cenderung kepada kaedah pengajaran seni dari Russia yang banyak melibatkan proses peniruan dan penghasilan arca tertumpu kepada figurative studies. Walaubagaimanapun, persoalan dari pelajar dapat dijawab dan pensyarah turut memberikan cadangan rujukan bagi pelajar untuk mengembangkan hasil arca mereka agar lebih menarik.

Selain itu, perkongsian syarahan ini juga dapat menjadi satu penanda aras bagi kedua – dua institusi bagi memperkemaskan dan mengembangkan kaedah dan proses penghasilan arca bagi pelajar di kedua-dua institusi. Dengan keterlibatan pensyarah UiTM En. Mohamad Hafiz Yahaya dan En. Muh Sarip Abd Rahman serta gabungan bersama Profesor Madya Zhaoyong telah memberikan satu pembuka jalan bagi pelajar di HBAFA untuk memperluaskan lagi keilmuan di bidang seni arca. Diharap  juga agar pelajar dan pensyarah dari HBAFA dapat berbalas untuk datang ke UiTM Cawangan Perak bagi mengadakan sesi yang sama kepada pelajar di bidang seni arca di UiTM Cawangan Perak.

Perkongsian seni seperti ini diharapkan akan terus dijalankan pada setiap tahun bagi merancakkan kesenian khususnya dibidang akademik dipelbagai negara. Program seperti ini mampu memberi peluang buat pensyarah untuk bertukar pengetahuan dengan institusi seni di negara lain serta mampu memberi faedah juga kepada pelajar yang terlibat untuk lebih memahami struktur kesenian dengan lebih luas.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000