Berita Terkini

UiTM Mencungkil Bakat Pelajar Yang Bersuara ‘Emas’

SHAH ALAM, 16 -17 April 2024 – Jabatan Komunikasi telah menganjurkan program pencarian bakat “Pembaca Nama Graduan Konvokesyen UiTM” yang bertempat di Studio Rakaman UFM, Menara Sultan Abdul Aziz Shah. Program tersebut telah dijalankan sepanjang tempoh dua hari dan

telah membuka ruang khususnya kepada pelajar sepenuh masa yang sedang dalam program pengajian diploma dan ijazah di UiTM Shah Alam dan juga UiTM Cawangan Selangor.

Program ujibakat tersebut telah berjaya menarik minat pelajar dan sambutan amatlah menggalakkan. Dengan jumlah kehadiran yang hampir mencapai 100 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan jurusan program. Pelajar tersebut dilihat berkebolehan dalam bertutur dengan baik dan bijak menggunakan intonasi suara yang sangat menarik.

Ujibakat tersebut telah diketuai oleh panel juri yang berpengalaman luas iaitu Encik Syahrudin Hanib (Penerbit Rancangan Kanan) atau lebih dikenali Dj Din. Barisan juri-juri yang berpengalaman turut memberi penilaian dan fokus terhadap tahap penyampaian dan kelancaran sebutan mengikut kesesuaian nada serta gaya persembahan yang meyakinkan.

Pelajar yang berjaya akan ditawarkan untuk berkhidmat di bawah “Skim Khidmat Pelajar” bagi sepanjang tempoh istiadat berlangsung. Pelajar juga berpeluang untuk menimba pengalaman bersama petugas-petugas sedia ada.

Melalui anjuran program seperti ini, pihak universiti yakin dengan peluang yang ditawarkan akan pasti membuka ruang kepada pelajar dalam membentuk daya komunikasi dan interpersonal yang tinggi. Ianya amat jelas dan secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada pelajar agar menjadi graduan yang lebih berkualiti apabila menceburi bidang pekerjaan di masa hadapan.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000