15 Ogos 2024, Galeri Tun Abdul Razak – Bual @IMPAK Siri Khas Adiwangsa siri keempat ini telah menampilkan tokoh peneraju UiTM yang ke 5
iaitu YBhg. Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim.
Mempunyai perwatakan yang sederhana, beliau merupakan seorang ketua yang menghormati pekerja tanpa mengira pangkat dan sangat komited dengan tugas tanpa mengira masa dan tenaga. Tegasnya, beliau sentiasa menitikberatkan soal pendidikan kerana dengan itulah dapat mengubah kehidupan seseorang untuk menjadi lebih baik.
Sejak dari kecil, pendidikan menjadi keutamaan dalam didikan keluarga tokoh hebat ini. Sehinggalah beliau menjadi Naib Canselor di universiti ini, beliau tetap menjadikan aspek pendidikan sebagai satu lonjakan utama bagi memajukan negara tercinta ini.
Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UiTM berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian ketika memegang jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Pendidikan Profesional, Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace) dan jawatan utama sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Beliau juga berkongsi pengalaman ketika menghadapi cabaran pasca COVID-19 yang memerlukan strategi dalam mengintegrasikan pelbagai pendekatan yang bersesuaian untuk pembelajaran kuliah(hybrid), mesyuarat, seminar serta perlu menitikberatkan soal kebajikan kakitangan dan juga pelajar tatkala negara masih lagi dihimpit isu wabak ini. Tambahan lagi, keadaan warga yang dilihat terlalu selesa menjadi satu cabaran dan misi hebat kepada beliau dalam merealisasikan UiTM menjadi sebagai sebuah high end university.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana walaupun UiTM mengalami pelbagai cabaran dan tentangan namun institusi ini masih kukuh menerpa kecemerlangan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Episod kali ini dimudahcara oleh YBrs. Dr. Norzizi Zulkifli, Ketua Pengajian Seni Persembahan Kolej Pengajian Seni Kreatif dan YBrs En. Zulkifli Abu Bakar Mantan Pengarah Kanan Jabatan Komunikasi UiTM. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Prof. Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor Pemerkasaan Adiwangsa, Prof. Dr. Hj. Azizan Abdullah, Prof. Ir. Dr. Hj. Abdul Rahman Omar, Raja Mohamad Fikri Raja Azman, Nur Ayuni Mohd Zullkipeli dan Rizal Aris Ismail.
YBhg. Datuk Azraai juga berharap agar UiTM terus komited dalam mengekalkan kecemerlangan dan mempunyai satu penanda aras untuk melestarikan Pendidikan berkualiti kepada anak bangsa di negara ini.