24 Oktober 2024 – Program Hari Bertemu Pelanggan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Selangor 2024 berlangsung dengan jayanya selama dua hari, bermula pada 23 Oktober dan berakhir pada 24 Oktober 2024.
Program ini diadakan khusus untuk memberi ruang kepada pelanggan utama HEP iaitu para pelajar dan warga kampus agar dapat memperoleh maklumat dan khidmat yang diperlukan berkaitan dengan hal ehwal HEP UiTM amnya dan HEP di UCS khususnya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, yang diiringi oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi kampus serta timbalan dekan HEP bagi setiap fakulti dan kolej. Kehadiran para pemimpin ini menandakan sokongan padu universiti dalam menjayakan program yang bertujuan memperkasakan peranan HEP dalam kehidupan kampus.
Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 6,003 pelajar yang hadir untuk mendapatkan pelbagai maklumat penting yang disediakan oleh pihak HEP. Kehadiran yang memberangsangkan ini turut memperlihatkan komitmen mahasiswa UiTM Cawangan Selangor dalam memanfaatkan peluang yang diberikan untuk meningkatkan kefahaman mereka tentang perkhidmatan HEP.