Select your language

Berita Terkini

UiTM Perkukuh Agenda Kebajikan Mahasiswa Menerusi Inisiatif Dapur HEP di UiTM Cawangan Sabah

UiTM Perkukuh Agenda Kebajikan Mahasiswa Menerusi Inisiatif Dapur HEP di UiTM Cawangan Sabah

Kota Kinabalu, 14 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa kebajikan pelajar

melalui pelaksanaan Program Dapur HEP, sebuah inisiatif inklusif yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM. Program ini diserlahkan melalui lawatan rasmi YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), ke kampus UiTM Cawangan Sabah, bersama YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha murni tersebut.

Program Dapur HEP menyediakan makanan percuma dan bersubsidi kepada mahasiswa yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang berhadapan dengan cabaran kewangan. Inisiatif ini dicetuskan oleh YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP), sebagai usaha menyeluruh dalam menyantuni pelajar secara holistik dan berterusan.

Setakat ini, 34 kampus UiTM di seluruh negara telah melaksanakan Dapur HEP, memberi manfaat kepada lebih 150,000 pelajar. Program ini turut mendapat sambutan serta sokongan padu daripada alumni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan sektor korporat.

“Dapur HEP bukan sahaja menyediakan makanan, tetapi mencerminkan penyatuan dan kasih sayang warga universiti. Penglibatan pelajar, staf dan komuniti luar membuktikan nilai-nilai murni yang terus subur di kampus,” ujar Prof. Dr. Sazili.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Dr. Zambry menekankan, “Inisiatif seperti Dapur HEP wajar diperluaskan ke semua institusi pengajian tinggi. Tiada pelajar harus belajar dalam keadaan lapar. Terima kasih kepada semua penyumbang yang menjayakan program ini.”

Di UiTM Cawangan Sabah, sebanyak 60 kilogram beras dimasak setiap hari dan diagihkan kepada lebih 3,000 pelajar melalui aktiviti gotong-royong yang dikendalikan oleh pelajar dan staf universiti. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan beban kos sara hidup pelajar, tetapi turut memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial.

Penyunting : Nor Azlin Rosli

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000