Enam Pemain Industri Ternama Berkolaborasi Bersama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perkasa Industri Kreatif Malaysia

SHAH ALAM, 21 OKTOBER 2022 – Enam memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK),

Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan pemain industri ternama pada hari ini yang bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin. MoU yang ditandatangani secara serentak ini adalah satu usaha pemerkasaan kerjasama antara akademik-industri yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang iaitu penerbitan kandungan digital, filem dan televisyen, pembangun platform Non-Fungible Token (NFT) dan penerbitan animasi. Sesi majlis MoU ini disaksikan dan ditandatangani oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Zaini Abdullah, Penolong Naib Canselor KPSK.

Kerjasama selama tiga tahun ini bakal memberi nilai tambah dan melonjakkan lagi perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam memapankan industri kreatif negara. Bersesuaian dengan kaedah Pembelajaran Berasaskan Kerja yang diterapkan dalam program-program yang ditawarkan oleh KPSK, persefahaman ini juga bakal menempatkan kumpulan pelajar di bawah Program 2u1i iaitu 2 Tahun di Universiti dan 1 Tahun di Industri. Selain daripada manfaat yang bakal diperoleh pelajar-pelajar, kepakaran tenaga akademik dan staf KPSK juga dapat ditingkatkan di samping dapat memperkukuh, mempromosikan dan mengembangkan kolaborasi dalam bidang akademik, inovasi dan penyelidikan.

Kesemua pihak industri yang terbabit ialah Inspidea Sdn. Bhd., Pentas IO Sdn. Bhd., Telaga Biru Sdn. Bhd., Brainy Bones Studio, Blindspot Studios Sdn. Bhd., dan juga syarikat penerbitan dan pengedaran filem iaitu MiG Beats Sdn. Bhd. Memorandum Persefahaman (MoU) ini akan berkuatkuasa dari tarikh persefahaman 21 Oktober 2022 sehingga 21 Oktober 2025.

Menurut Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM, Dr. Haji Zaini Abdullah, pihak UiTM dan KPSK amat teliti dalam pembangunan Mahasiswa yang berkualiti dan bermutu tinggi, khususnya dalam bidang seni kreatif. “UiTM dan KPSK memainkan peranan yang amat penting dalam mengetengahkan kepakaran yang dimiliki menerusi memorandum persefahaman dengan pelbagai pihak sama ada dalam negara dan juga luar negara. Dengan termeterai-nya MoU KPSK bersama rakan-rakan industri pada hari ini, ia mampu mewujudkan hubungan erat antara akademia dan industri serta mendorong lebih banyak pertukaran pengetahuan (knowledge transfer) dan pengalaman antara kedua- dua pihak terutamanya dalam bidang seni kreatif.”

“KPSK akan sentiasa terus mendokong usaha kelestarian – yang memanfaatkan jaringan industri, komuniti dan juga alumni,” ujar beliau. Selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025, Memorandum Persefahaman dengan pihak pemain industri kreatif tempatan ini menggariskan empat objektif utama yang ingin dicapai oleh kedua-dua pihak iaitu:-

  1. Untuk menyediakan peluang program sangkutan profesional dan industri untuk pelajar dan juga staf.
  2. Menyediakan ruang bagi pembangunan kerjaya dalam industri seni kreatif kepada pelajar dan staf.
  3. Penglibatan dalam program penyelidikan, penulisan juga penerbitan bersama dalam kalangan staf dan pelajar.
  4. Berkolaborasi dalam sebarang aktiviti mana-mana bidang yang berkaitan dari masa ke masa berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

KPSK akan menyediakan pelbagai saluran platform hubungan pintar bagi memastikan objektif-objektif utama ini tercapai dalam tempoh yang dirancang. Dengan kerjasama dan kolaborasi menerusi memorandum persefahaman (MoU) ini, kedua-dua pihak akan dapat memanfaatkan idea dan peluang baru yang boleh diketengahkan dalam industri kreatif Malaysia selain daripada menyediakan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti.

 

Berita Lanjut

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000